Friday, 18 April 2014

Kecil Yang Besar

Teks : Rapidah Ramli
Sumber : Majalah Solusi isu 67

Apa yang kecil?

Apa yang besar?

DOSA.

Ya Dosa. Dosa ada kecil, ada besar. Rasanya semua orang tahu itu. TAPI pernah terfikir tak ? Dosa kecil itu sebenarnya tidak kecil.  Kita selalu memandang enteng tentang perkara ini.

"Alah, dosa kecil akan terhapus dengan membuat banyak perkara sunat." Ya ka?.

"Alah, nanti aku taubatla. Allah kan maha pengampun." Konpem ke? Yakin sempat taubat sebelum mati?

Rasulullah s.a.w mengingatkan: "Berwaspadalah kamu dengan remeh temeh dosa kerana perkara itu akan bertompok-tompok pada seseorang sampailah membinasakannya" (Riwayat Ahmad)

Dosa kecil boleh jadi  bahayanya lebih besar daripada dosa besar. Mana tidaknya, kita cenderung meremehkan dosa kecil kerana kecilnya dosa itu. Lalu kita ulanginya lagi dan lagi. Pada saat itu kita merasakan yang dosa itu biasa-biasa sahaja. Walhal dosa tetap dosa. Akhirnya tiada lagi rasa menyesal atau ralat, apatah lagi untuk berfikir untuk berhenti melakukannya.

Walhal mukmin bukan begitu perangainya. Ibn Mas'ud berkata: "Sesungguhnya orang mukmin melihat dosanya seperti dia sedang berada di kaki gunung, bimbang sangat akan runtuh menimpanya. Seorang fajir melihat dosanya seperti lalat yang terbang dihidungnya sahaja". (Riwayat Al-Bukhari) [wikipedia: fajir=kafir].

Syaitan tidaklah bebal untuk mengoda orang baik-baik dengan dosa besar. Sebaliknya syaitan akan umpan dengan perkara remeh temeh.

"Aku, solat berjemaah tak pernah lewat, kuliah pengajian tak pernah tinggal, tidak mengapalah buang sampah merata, parkir kereta ikut suka!"

Dosa kecil akan menjadi dosa besar jika dilakukan berterusan. TAK PERCAYA?

Malangnya kita tidak sedar. Kita mudah tertipu dengan nilai satu persatu sesuatu perkara tetapi JARANG mengira nilai keseluruhannya. Memang berhutang 10 sen sehari, sedikit. Namun kalau setahun dah jadi berapa? Dua, tiga, empat tahun pula? Inikan pula sampai tua?

Mukmin sebenar seorang yang kritis dengan dirinya. Dia lebih merasakan amal baiknya kurang malah keterlanjurannya lebih banyak. Demikianlah Rasulullah. Tidak kurang 70 kali baginda memohon ampun kepada Allah setiap hari.

Ibn Mas'ud pernah berkata: "Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan-perbuatan yang ada pada mata kamu bagaikan bulu sahaja sedangkan pada masa nabi kami menganggapnya sebagai pemusnah!" (Riwayat Al Bukhari)

Sebenarnya kita melakukan dosa kecil bukan kerana kecilnya dosa itu. Sebaliknya kerana kecilnya iman dan rasa malu kita kepada Allah yang maha besar.

Teringat pesan lama: "Jangan melihat pada kecilnya dosa, tetapi lihatlah pada besarnya Dia yang kita berdosa"




Jom Sertai ABDR
 
Hubungi penulis :

 Email : rapidahbtramli@gmail.com

 Sms@Whatsapp : 0134876247
 

0 comments:

Post a Comment

 

Diari WAHM preneur Template by Ipietoon Cute Blog Design