Monday, 16 June 2014

Gembira, Nikmat dan Rahmat

Teks : Rapidah Ramli

Bismillah. Assalamualaikum.

Dalam kesibukan kerja harian, tanpa kita sedar masa begitu pantas berlalu. Leka seminit, rugi yang besar. Diam tak diam kita semakin menghampiri Ramadhan AlMubarak. Kiriman mesej seorang teman membuatkan Kak Dah tersentap. Oh, lalainya aku!.
Khas buat kalian semua, Kak Dah nukilkan balik apa yang di sampaikn oleh teman.

INGATLAH PESAN INI!
Sentiasa dapat melihat wajah ibu bapa kita semasa hidup adalah satu KEGEMBIRAAN yang Allah berikan tetapi jarang sekali anak-anak apabila sudah dewasa ingin kerap melihat wajah mereka, apatah lagi bila mereka sudah tua, uzur dan berwajah sugul!
Dapat mencium dan mendakap atau memeluk ibu bapa kita setiap masa dan hari adalah suatu NIKMAT yang Allah juga berikan. Tetapi apabila kita sudah dewasa dan beristeri atau bersuami maka kita amat jarang sekali memeluk dan mencium ibu bapa kita. Kita hanya gemar memeluk bayi, anak-anak dan suami/isteri kita.

Doa dari ibu bapa kepada anak-anaknya adalah satu RAHMAT besar yang Allah berikan kepada kita tetapi kita jarang hargai dan mengharapkan doa ibu bapa itu sehinggalah kita ditimpa musibah dan kesusahan barulah kita teringat akan ibu bapa dan mengharapkan doa dari nya.

Apabila ibu bapa kita telah MATI maka hilang dan terputuslah KEGEMBIRAAN, KENIKMATAN dan KERAHMATAN dari doa ibu bapa kita. Kita menjadi orang yang sayu dan sepi di dalam mengenangkan masa-masa lampau bersama ibu bapa kita kerana di situlah mengalirnya kasih sayang dari mereka.
Apabila kita menjadi ibu bapa maka kita pula mengharapkan agar anak-anak seringkali dapat menjengguk, mendakap dan melihat wajah kita. Kita sentiasa mendoakan agar Allah melindungi anak-anak kita ini dengan dilimpahi rahmat, kasih sayang, rezeki, dan kebahagian hidup. Yang pasti kita akan mengharapkan agar anak-anak mendoakan kita selepas kematian. Itulah yang belum tentu pasti!

"Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya". (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

HARGAILAH IBU BAPA KITA SEBELUM DATANGNYA KEMATIAN

Masih belum terlambat. Semoga kita semua dapat berbakti kepada ibu dan ayah selagi hayat mereka ada. Bagi mereka yang telah pergi, janganlah lupa kirimkan pahala bacaan Al Quran dan doakan kesejahteraan mereka disana. Agar mereka ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan beriman.

Yang baik datangnya dari Allah, yang buruk datangnya dari khilaf saya.
Jumpa di lain entri.

0 comments:

Post a Comment

 

Diari WAHM preneur Template by Ipietoon Cute Blog Design