Monday, 7 April 2014

Jom Berkhalwat

 Teks : Rapidah Ramli


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Jangan salah sangka...baca dulu sampai habis!


"Tiada sesuatu yang berguna bagi hati sebagaimana uzlah untuk masuk ke medan tafakkur." Kata-kata ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Athalillah Assakandari.
Kata-kata itu menggambarkan tentang peri pentingnya uzlah demi meningkatkan tafakkur kita, malah mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Esa.

Maka jalannya ialah beruzlah atau berkhulwah kepada Allah. Cuma masyarakat kita mengaitkan amalan beruzlah ini dengan ilmu pertapaan untuk mendapatkan kuasa mistik dan berkhulwah dengan maksud berkhalwat (berdua-duaan dengan pasangan) pada makna sisi yang negatif pula.

JOM BERKHALWAT ?
Beruzlah dan berkhalwat atau pada sebutannya disebut berkhulwah ialah bersunyi-sunyian untuk ta'abud dan taqarrub kepada Allah. Duduk bersunyi diri dalam satu tempat tertentu bagi membolehkan seseorang beribadat tanpa gangguan. Mengadu, merintih dan merayu dengan Allah serta bertafakkur merenung kebesaran dan keagungan Allah.

Umumnya, terdapat dua pembahagian, iaitu :
1. Dibuat dengan badan dan hati
2. Dibuat dengan hati sahaja.
Kebiasaannya, jenis yang pertama itu dilakukan oleh golongan mubtadi' iaitu orang yang belajar tasawuf namun hatinya masih lalai. Sedangkan jenis kedua itu biasanya yang telah mencapai dan mengatasi jenis yang pertama serta telah mencapai pelbagai objektif dengannya.

DISYARIAT ATAU SEKADAR AMALAN BIDA'AH ?
Ia sememangnya disyariatkan dalam Islam dan bukan direka oleh ulama tasawuf dan tidak pula dari unsur pertapaan. Contohnya tertera sendiri dalam al-Quran dan hadis Nabi saw. Malah beberapa orang nabi serta para solehin turut beruzlah. Termasuklah baginda Nabi Muhammad saw yang beruzlah dan berkhulwah di Gua Hira' di atas Jabal Nur sehingga baginda dilantik menjadi rasul. (Kitab Fiqh Sirah Dr. Said Ramadhan Al-Buti)

PRO & KONTRA :
Kebanyakan mereka yang zuhud menyatakan uzlah itu lebih baik dari bermasyarakat dengan membawa hujah dari hadis Rasulullah SAW yang diceritakan oleh Uqbah bin Amir R A yang bermaksud "Aku bertanya "Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk selamat? Sabda baginda: Peliharalah lidahmu, diamilah rumahmu dan tangisilah dosa-dosamu (HR : at-Tirmizi)

Hujah golongan kedua pula ialah hadis Nabi SAW yang bermaksud "Seseorang mukmin yang hidup bergaul dengan orang ramai dan bersabar atas kerenah mereka, lebih baik daripada yang tidak bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar atas kerenah mereka
(HR : at-Tirmizi)

Khulwah ini ada kebaikan dan ada keburukannya seperti dapat menumpukan sepenuh masa kepada ibadat dan merasai nikmat munajat kepada Allah SWT. Dapat melepaskan diri dari maksiat pergaulan iaitu mengumpat, tidak amar makruf nahi mungkar, riya', sum'ah dan terpengaruh dengan akhlak buruk. Terselamat dari fitnah dan permusuhan. Bebas dari kejahatan manusia seperti perasaan hasad dengki, sakit hati orang lain dll...

Tetapi jika seseorang itu beruzlah atau berkhulwah dengan ilmu syariat yang masih belum mantap atau dia seorang guru yang perlu mengajar penuntut, maka uzlahnya adalah sesuatu kerugian kerana tidak dapat belajar atau mengajar ilmu itu. Orang beruzlah juga tidak dapat mengambil manfaat dan memberi manfaat kepada orang lain atau tidak mendapat pahala untuk diri sendiri serta membantu orang lain mendapat pahala.

KESIMPULAN :
Justeru, kalau ada orang yang sedang mengasingkan diri, lama tak muncul dalam masyarakat, menyepi diri...bersangka baiklah, mungkin dia sedang beruzlah atau berkhulwah dengan Allah !
Wallahu a'lam.
posted from Bloggeroid

0 comments:

Post a Comment

 

Diari WAHM preneur Template by Ipietoon Cute Blog Design